Tugas Pemimpin Bukan Senang

Agama

2013/04/01 – 02:57:39 AM ⁠Oleh Lokman Ismail⁠ 

Amanah diberikan wajib dilaksana dengan penuh tanggungjawab

Memilih dan melantik pemimpin bagi menguruskan hal ehwal umat Islam hukumnya wajib. Keperluan ini berdasarkan apa yang dijelaskan ayat al-Quran, hadis dan ijmak ulama.
 Maksud jawatan pemimpin bukan dalam aspek pentadbiran negara semata-mata, tetapi juga membabitkan kelompok kecil. Kehidupan kita tidak terlepas berkaitan aspek kepimpinan dalam kehidupan seharian. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sekiranya kamu keluar dalam perjalanan seramai tiga orang, maka hendaklah kamu lantik salah seorang di antara kamu sebagai ketua.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ini membuktikan ada tugas dan peranan penting perlu dilakukan setiap individu bergelar pemimpin. Secara umum pemimpin bertanggungjawab untuk menjaga keperluan, keselamatan dan hak orang yang dipimpin. Pemimpin melaksanakan tanggungjawab yang besar dan hanya mereka yang berkebolehan layak untuk dilantik menjadi pemimpin.

Kewajipan lantik pemimpin

Ibnu Taimiyyah berkata: “Wajib diketahui bahawa melantik pemimpin bagi urusan masyarakat adalah kewajipan agama yang besar. Urusan keduniaan mereka tidak dapat ditegakkan tanpa ada pemerintahan (pemimpin). Keperluan bani Adam tidak dapat dicapai melainkan dengan berhimpunnya mereka (masyarakat) di bawah seorang pemimpin, yang mana di antara mereka saling memerlukan di antara satu dengan yang lain.
Justeru, sesiapa berhasrat menjadi pemimpin mesti menerima hakikat terpaksa berdepan tugas yang berat. Jika dirasakan tidak mampu, elok jawatan itu diserahkan kepada orang lain yang lebih layak. Tindakan itu dapat mengelak daripada berlaku ‘kezaliman’ terhadap rakyat yang mengharapkan sumbangan terbaik daripada pemimpin.

Ironinya, hari ini ramai orang yang ghairah untuk menjadi pemimpin tanpa melihat dan mengukur kelayakan diri sendiri. Bagi yang sudah lama jadi pemimpin pula ingin terus kekalkan jawatan, bahkan ingin jawatan lebih besar. Sesiapa menjadi pemimpin akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya mengenai kepimpinannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Pemimpin rela berkorban

Pemimpin mesti rela berkorban demi melaksanakan tugas. Jawatan yang disandang bukan untuk kesenangan sendiri.

Pemimpin tawaduk tidak runsing hilang sokongan disebabkan tidak memberi layanan istimewa kepada penyokong setia. Sebaliknya, dia lebih takut kepada pembalasan Allah jika gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, wahai Tuhan yang memberikan kerajaan. Engkau memberi kerajaan (kekuasaan) kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau gugurkan (jatuhkan) kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki.” (Surah Ali Imran, ayat 26)
Pemimpin mesti berusaha menunaikan janji yang dibuat dengan bersungguh-sungguh. Jika ada janji yang tidak mampu ditunai, perlulah dijelaskan agar rakyat tidak ternanti-nanti. Perbuatan sengaja berjanji sedangkan tidak mampu untuk dilaksanakan perlu dielak. Setiap pemimpin hanya boleh berjanji jika yakin dapat menunaikannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tanda-tanda seorang munafik itu adalah tiga perkara ialah apabila berjanji tidak ditunaikan, apabila bercakap dia berdusta dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap pemimpin perlu ikhlas melihat dan menilai keupayaan sendiri. Jika perlu berundur, lepaskan jawatan dengan terhormat. Itu lebih baik daripada terus membiarkan diri menanggung beban yang nyata tidak mampu ditanggung lagi.

Tidak khianat

Pemimpin yang baik tidak mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya. Mereka melakukan tugas dengan sebaik mungkin dan jika sedar apa yang diharapkan oleh pengikutnya tidak mampu ditunaikan, maka cara terbaik ialah menyerahkan tugas itu kepada individu lain yang difikirkan lebih layak. Dalam konteks negara demokrasi, jawatan pemimpin negara dipilih melalui pilihan raya.

Dosa amat besar bagi pemimpin yang menipu rakyatnya dengan janji-janji kosong serta melakukan perbuatan pecah amanah. Pemimpin yang gagal melaksanakan tugas termasuk dalam kategori pecah amanah dan menipu rakyat mengenai kemampuan sebenar mereka memerintah.

Justeru, jangan dijadikan janji bertujuan untuk menipu rakyat sedangkan sedar apa yang dijanjikan itu tidak mampu untuk ditunaikan. Sikap pemimpin yang hanya tahu berjanji tetapi tidak berusaha menunaikannya bakal menerima pembalasan seksa di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiadalah seorang hamba Allah SWT yang diberi tugas pemimpin untuk memimpin rakyat kemudian dia mati di hari kematiannya dalam keadaan dia menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkannya dari memasuki syurga” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/Tugaspemimpinbukansenang/Article

Mahu Dibawa Ke Mana Umat Ini?

Mahu Dibawa Ke Mana Umat Ini?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s